Khamis, 20 April 2017

Rezeki...ALLAH yang maha mengetahui..


Selalu kalau kita nak bagi ucapan hari jadi contohnya kita selalu cakap.. semoga murah rezeki.. ucapan perkahwinan.. murah rezeki.. tapi adakah kita betul-betul niatkan apa yang kita ucap tu?

Saya bukanlah orang yang tepat nak bincang pasal isu rezeki ni. tapi sekadar berkongsi pengalaman apa yang telah saya lalui tu boleh lah. yang elok di ambil yang kurang jadikan sempadan.
saya pun belajar dari pengalaman orang jadi pengalaman yang saya rasa boleh beri manfaat kepada orang lain saya cuba kongsi juga.

memandangkan usia perkahwinan menginjak ke tiga tahun pada masa itu, kami merasa sudah sampai masa untuk kami membeli rumah. survey punya survey kami jumpa satu rumah dalam bajet kami di selangor. perancangan masa panjang untuk saya berpindah ke selangor dan kami menetap disana. masa deal dengan ejen, ejen kata harga boleh kurang. kami kesana dengan harapan harga boleh kurang tapi dah sampai ejen berkeras cakap harga tak boleh kurang dan kami balik dengan hampa. dalam perjalanan pulang saya bukak satu laman web dan jumpa iklan rumah yang baru sahaja di upload di laman web itu. terus saya kol ejen baru tersebut dan beliau setuju untuk berjumpa on the spot! yelah kami dari KL. jauh perjalanan kalau balik tangan kosong. nasib la ejen baru sudi jumpa. kami terkejut dengan harga rumah tersebut yang jauh lebih murah!!! REZEKI! keluasan pun jauh lebih luas dari rumah tadi. walaupun ada pelbagai rintangan dalam urusan pembelian rumah ini, akhirnya di rumah ini lah yang kami diami sekarang. rezeki tak disangka. rumah ni kami tak pernah survey. jumpa iklan 5 minit sahaja. terus datang tengok. terus beli.

rezeki kedua tuhan bagi ialah anak. kisahnya semasa saya membuat keputusan untuk bertukar jabatan daripada HQ KL ke cawangan selangor semasa masih bekerja dahulu. suami memang bekerja di selangor. selama ini suami yang berulang alik dari selangor ke KL sebab kami menetap di KL. awal tahun tu saya ada buat IUI. dimana saya dan suami tidak berjaya mendapat zuriat. saya akui, saya berasa sedih kerana saya sanggup korbankan diri untuk menjalani rawatan IUI. fizikal dan mental saya terasa sangat penat. namun saya akur bukan rezeki saya masa tu. dengan keadaan kerjaya yang kurang memuaskan saya buat keputusan untuk memulakan hidup baru. sesungguhnya Allah yang lebih mengetahui. di saat saya baru nak memulakan langkah dengan kerjaya baru, saya dikurniakan rezeki zuriat. REZEKI anak ini sangatlah tidak saya duga. kerjaya baru saya menuntut saya untuk memberikan sepenuh masa kepada kerja kerana tanggungjawab yang sangat besar.


setelah berpindah kerjaya baru hidup saya 24/7 cuma kerja. dua minggu saya demam tak kebah. sakit badan dan suhu badan panas sentiasa. ingatkan kerana kuat bekerja dan saya jangka kerana period lewat hormon jadi tak stabil. suami yang pujuk untuk beli pregnancy test sedangkan saya minta ubat period masa itu. saya langsung tak nak cuba pregnancy test sebab dah terlalu kecewa dengan IUI. nak jaga hati suami punya pasal lepas bangun tidur saya cuba dan saya letak tepi. langsung tak tengok. saya terus mandi. lepas mandi baru tengok... DOUBLE LINE. saya kejut suami bangun. suami senyum. saya belum berpuas hati sebab tak nak mengharap. mungkin pregnancy test silap. kami ke klinik akhirnya doktor mengesahkan usia kandungan sudah 6 minggu 6 hari. hampir 7 minggu. ALHAMDULILLAH. lamanya kami menanti.. rakan seangkatan anak sudah masuk dua tiga orang. besar kuasa ALLAH. akhirnya saya dapat lalui pengalaman baru dalam hidup.



memandangkan keadaan saya agak teruk dan kerap keluar masuk hospital, saya tidak mampu nak bekerja seperti dahulu. terlalu banyak kerja yang tertangguh dan semua orang makin tertekan dan the rest of the stories biarlah saya simpan. saya tidak mahu menambah beban dan menyusahkan sesiapa. saya juga kakitangan baru disitu. saya tidak berniat menimbulkan masalah.
dan kini saya mula berjinak dengan bisness online pula. saya benar-benar percaya dengan rezeki tuhan. beberapa peristiwa sudah mengajar saya bahawa ALLAH pemilik segala rezeki. minta dan yakinlah dengan DIA. sesungguhnya DIA yang maha mengetahui segala-galanya. perancangan manusia tidak sehebat perancangan DIA. DIA lebih tahu apa yang terbaik buat hambanya.

Perjalanan saya menjalani IUI - (3 : Hari temujanji)


Setelah lama menanti, akhirnya hari yang ditunggu tiba. Pagi itu kami bangun awal. Teringat pesanan jururawat di LPPKN, temujanji kami pukul 8.30 pagi namun sekiranya kami datang awal urusan pendaftaran akan menjadi lancar dan kami tidak perlu tunggu lama.

Semasa kami membuat keputusan untuk menjalani IUI, masing-masing dah beri kebenaran kepada pasangan sekiranya salah seorang daripada kami yang bermasalah kami bersedia menerima apa jua keputusan yang bakal di ambil oleh pasangan kami. Namun sekiranya tiada masalah antara kami, kami tidak akan berputus asa dan akan cuba berusaha untuk mendapatkan zuriat.

Kami bertolak sekitar jam 7.30 pagi. Hati terasa berdebar semasa menempuhi trafik. Bangunan LPPKN terletak berhadapan dengan Medan Mara. Setelah menulis nama di buku pelawat dan meninggalkan lesen memandu, kami naik ke tingkat yang diberitahu. Saya ingat-ingat lupa. Kalau tidak silap tingkat 6 Bahagian Fertiliti.

Dengan perasaan kekok saya melangkah ke dalam lif bersama kakitangan LPPKN yang masuk kerja pada pagi itu. Ada yang peramah bertanya kepada saya hendak kemana. Jawab saya ke Bahagian Fertilii tingkat 6 ringkas. Tiada soalan lanjut dan kami berbalas senyuman.

Setibanya di tingkat 6 saya pergi ke kaunter pendaftaran dan memaklumkan nama. Saya di arah untuk duduk dikerusi menunggu sehingga nama saya di panggil untuk sesi berjumpa doktor. Sejujurnya di situ ramai pasangan yang menghadapi masalah seperti kami. Tidak mengira bangsa, usia, realitinya mereka juga masih menunggu zuriat.

Saya dan suami duduk di kerusi menunggu. Memandang sesama sendiri dan berpegang tangan. Terasa seperti suasana di tempat menunggu ketika itu dipenuhi harapan oleh setiap pasangan-pasangan yang berada disitu.

Tidak lama kemudian...
Jururawat : "Puan..."
Saya : "Ya saya nurse?"
Jururawat : "Puan boleh masuk jumpa doktor ye"
Saya : "Baik nurse"
Jantung berdebar... dup dap dup dap..laju... (bersambung)

#anak
#IUI
#Fertilityjourney
#zuriat
#fertilityprocedure

360 darjah


Hidup kita ini ibarat roda. Kadang kala di atas, kadang kala dibawah. Suatu masa kita lalai dan alpa kepada pencipta kita. Sehinggalah kita di cuit Yang Maha Esa.

Tika terlantar di katil hospital tidak berdaya, apa yang kita mula fikir? Pergerakan terbatas. Nak melakukan urusan harian tangan dicucuk jarum. Hilangnya segala nikmat kesihatan yang telah kita dapat selama ini. Air mata sahaja peneman setia.

Syukur saya punyai suami yang setia disisi. Namun hati tidak kuat melihat yang tersayang tidur di bangku hospital kesejukan demi menemani isterinya. Tatkala di hospital sendirian semasa suami tidak dapat menemani, sunyi sungguh terasa hidup ini. Iyelah nak bergerak pun tak mampu.

Sesekali nurse datang menjenguk untuk memeriksa tekanan darah dan beg air, nurse bertanya sedikit sebanyak mengenai rakan dan kerja. Terima kasih nurse kerana memberi sedikit motivasi walau hanya sepatah dua. Emosi orang sakit memang sensitif. Ucapan sedikit sejujurnya mampu menceriakan saya ketika itu.

Saya merupakan seorang banker dulu. Daripada seorang yang bekerja di kaunter cawangan iaitu eksekutif operasi kepada eksekutif sokongan di bahagian audit dan terakhir sehinggalah kepada eksekutif di bahagian pinjaman di cawangan. Saya mengendalikan urusan pembayaran pinjaman merangkumi pinjaman peribadi, perumahan dan juga perniagaan.

Ketika itu saya sering berurusan dengan pelanggan, pihak peguam, pihak pemaju, tribunal dan juga pihak pengurusan. Saya memikul tanggungjawab yang agak berat. Saya perlu bijak menangani masalah kakitangan dibawah seliaan saya. Disamping perlu memastikan semua garis panduan yang diberikan bank dan bank negara dipatuhi.

Kerja saya tidak pernah bernokhtah. Setiap hari saya kerja. Sabtu ahad pun pergi office. Tidak pernah fikir cuti. Kerana apa? Kerana saya kasihankan staff saya, kalau saya tiada bagaimana mereka? Bagaimana kerja mereka yang tertunggak kerana menunggu saya? Kasihan pelanggan yang menunggu kelulusan pinjaman. Sehingga saya lalai dan alpa terhadap tuntutan sebenar saya sebagai hambaNYA.

Kadang kala nak mengejar target harian sebelum pembayaran pukul 4 petang sehingga saya melewatkan solat saya. Mengaji? Saya betul-betul terlupa untuk meluangkan masa untuk itu. Iyala setiap hari habis kerja dah lewat pukul 8 mlm baru fikir untuk berhenti dan sambung esok. (Last day of the month perlu standby office sehingga 9.30mlm ) perjalanan sampai rumah pukul 9 mlm. Mandi rehat dan baru makan malam pukul 10. kalau penat sangat esok ajelah makan. Saya tiada masa untuk ambil tahu benda lain selain kerja saya. Jahil sungguh diri ini.

Saya benar-benar terleka sehingga saya dicuit Allah kerana sayangkan saya. Semasa sakit kita akan lebih mengerti erti kehidupan, erti kebahagiaan dan erti penyesalan terhadap masa yang telah kita bazirkan.

Sebenarnya tidak salah kita mengejar kerjaya. Saya percaya rakan-rakan saya yang lain juga ada yang bekerja seperti saya malahan lebih mencabar. Namun biarlah mengejar kerjaya itu seiring dengan kita mengejar akhirat. Jangan sesekali menidakkan hak pencipta kita terhadap kita sebagai hambaNYA ini. Kewajipan terhadap pencipta perlu didahulukan.

Saya masih lagi belajar. Yang silap saya perbetulkan. Semoga saya istiqamah untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas ini. InsyAllah.





Oppss wrong toilet..

Siapa pernah tersalah masuk public toilet?

Memalam ni tetiba aje teringat kenangan pahit memalukan kelakar yang jadi tahun lepas.
Masa tu melulu dan confident aje masuk toilet. Bila dah "selesai"dan keluar toilet aku mengadap la cermin nak betulkan tudung dan cuci tangan.

Sekali toilet sebelah keluar sorang mamat ni. Dia buat selamber. Pastu mamat ni cuci tangan ambik tisu. Langsung tak de tegur aku.

Masa tu aku chillex ajela. Dalam hati aku boleh cakap "fuh tomboy zaman sekarang memang nampak betul-betul mcm lelaki tulen" dengan gaya jalan, tubuh badan, pakaian, rambut, muka dan semua la. Masa tu masih belum terlintas difikiran yang aku dalam toilet lelaki.

Then ada seorang lelaki masuk mungkin dia tak perasan aku sebab tengah rushing. Masa tu baru la aku tergerak hati nak bertanya kat mamat tadi. "ini toilet lelaki ke" mamat tadi jawab "haah la" pastu tengok aku atas bawah.

Ya Allah malunya masa tu. Terus aku berlari keluar. Entah apa la yang mamat tu fikir tadi. Entah-entah dia pun fikir sama macam aku.. Aku fikir dia tomboy. Dia mungkin fikir aku bukan wanita tulen agaknya. Hehe
#kenangan
#kelakardanmemalukan
Ahahahahahaha bila ingat balik gelak tak benti

Perjalanan saya menjalani IUI - (2 : Sesi Memujuk)


"IUI? apa tu?" soal suami.
Saya cuba mencari ayat untuk meyakinkan dia.
Bertubi-tubi soalan demi soalan yang diajukan bak M16 yang dilepaskan Snake Eyes dalam filem G.I Joe.
Fuh ini tidak boleh jadi. Suami pula memang juara kalau bab berdebat. Dia dengan Syamsul Debat tu sipi aje lagi tu.. Hampir tewas saya dibuatnya.
Saya : "Macam ini lah abang, kita cuba pergi dulu. Kita dengar dulu konsultasi daripada doktor. Kalau tidak berminat nak teruskan sayang tidak paksa. Lagipun semua ni kan usaha."
itu sahaja ayat meminta belas kasihan yang mampu saya beri sambil mata berkelip-kelip meminta peluang akhir.
Suami : "Haih dia nih..Alaaaahaiiii muka tu kann.. iyalah-iyalah.. kita pergi. Tapi sayang kena uruskan semua. Abang ikut sahaja"
Saya : "Yes!... weeee....akhirnyaa..."
Esoknya saya membuat panggilan ke LPPKN untuk membuat temujanji. Syarat membuat rawatan disini ialah pasangan telahpun berkahwin selama lebih 2 tahun. Pihak LPPKN mengutamakan pasangan yang telah berkahwin lama supaya lebih peluang diberikan kepada mereka. Walaubagaimanapun mungkin juga ada kelonggaran bagi sesetengah kes.
Panggilan pertama saya tidak berjaya membuat temujanji kerana jadual temujanji untuk tahun tersebut telahpun penuh sehingga hujung tahun. Pegawai bertugas meminta saya membuat temujanji pada awal bulan tahun hadapan.
Panggilan kedua saya pada tahun berikutnya akhirnya berjaya dan kami menghitung hari untuk menghadiri temujanji pertama kami bagi rawatan ini. (bersambung)

#IUI
#Fertilityprocedure
#anak
#menanti zuriat

Isnin, 17 April 2017

Perjalanan saya menjalani IUI - (1 : Pengenalan kepada IUI)

Sesungguhnya anak merupakan anugerah Allah yang sangat berharga. Cahaya mata adalah harta paling beharga di dunia ini. Kehadiran anak adalah penyeri rumahtangga serta mampu menjadi pengikat kasih sayang suami isteri.
Walaubagaimanapun tidak semua pasangan suami isteri begitu mudah mendapat zuriat. Ada yang cepat dan ada yang bertahun menanti barulah dikurniakan cahaya mata. Usaha, berdoa dan berserah sahaja kepada Allah. Usaha berterusan Insyallah, Allah itu maha mendengar.
Setelah agak lama berusaha dan menanti, ada rakan cadangkan saya untuk menjalani IUI. Itu pun salah satu usaha juga fikir saya waktu itu. Lantas saya mula mencari sedikit sebanyak maklumat mengenai IUI seperti proses yang saya dan suami perlu lalui, kos yang terlibat dan hospital yang menawarkan rawatan itu. Saya akhirnya memutuskan untuk menjalani IUI di Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara iaitu LPPKN. (..bersambung..)

#IUI
#Fertilityjourney
#anak

2nd blog - 15 April 2017


Asalnya saya dah ada sebuah blog sebelum ini. Tapi ID email saya kena hacked sampai tiada dalam rekod. Saya dah cuba hubungi kawan yang ada ilmu dalam bidang IT tapi dia pun tak berjaya.
Jadi terpaksa la saya dengan berat hati cipta blog ni.

Anyway, saya harap blog ini dapat memberikan saya semangat baru dalam bidang penulisan.
Blog baru ini saya jadikan ruangan untuk saya menjalankan perniagaan dan juga kemaskini akiviti seharian saya.