Khamis, 20 April 2017

360 darjah


Hidup kita ini ibarat roda. Kadang kala di atas, kadang kala dibawah. Suatu masa kita lalai dan alpa kepada pencipta kita. Sehinggalah kita di cuit Yang Maha Esa.

Tika terlantar di katil hospital tidak berdaya, apa yang kita mula fikir? Pergerakan terbatas. Nak melakukan urusan harian tangan dicucuk jarum. Hilangnya segala nikmat kesihatan yang telah kita dapat selama ini. Air mata sahaja peneman setia.

Syukur saya punyai suami yang setia disisi. Namun hati tidak kuat melihat yang tersayang tidur di bangku hospital kesejukan demi menemani isterinya. Tatkala di hospital sendirian semasa suami tidak dapat menemani, sunyi sungguh terasa hidup ini. Iyelah nak bergerak pun tak mampu.

Sesekali nurse datang menjenguk untuk memeriksa tekanan darah dan beg air, nurse bertanya sedikit sebanyak mengenai rakan dan kerja. Terima kasih nurse kerana memberi sedikit motivasi walau hanya sepatah dua. Emosi orang sakit memang sensitif. Ucapan sedikit sejujurnya mampu menceriakan saya ketika itu.

Saya merupakan seorang banker dulu. Daripada seorang yang bekerja di kaunter cawangan iaitu eksekutif operasi kepada eksekutif sokongan di bahagian audit dan terakhir sehinggalah kepada eksekutif di bahagian pinjaman di cawangan. Saya mengendalikan urusan pembayaran pinjaman merangkumi pinjaman peribadi, perumahan dan juga perniagaan.

Ketika itu saya sering berurusan dengan pelanggan, pihak peguam, pihak pemaju, tribunal dan juga pihak pengurusan. Saya memikul tanggungjawab yang agak berat. Saya perlu bijak menangani masalah kakitangan dibawah seliaan saya. Disamping perlu memastikan semua garis panduan yang diberikan bank dan bank negara dipatuhi.

Kerja saya tidak pernah bernokhtah. Setiap hari saya kerja. Sabtu ahad pun pergi office. Tidak pernah fikir cuti. Kerana apa? Kerana saya kasihankan staff saya, kalau saya tiada bagaimana mereka? Bagaimana kerja mereka yang tertunggak kerana menunggu saya? Kasihan pelanggan yang menunggu kelulusan pinjaman. Sehingga saya lalai dan alpa terhadap tuntutan sebenar saya sebagai hambaNYA.

Kadang kala nak mengejar target harian sebelum pembayaran pukul 4 petang sehingga saya melewatkan solat saya. Mengaji? Saya betul-betul terlupa untuk meluangkan masa untuk itu. Iyala setiap hari habis kerja dah lewat pukul 8 mlm baru fikir untuk berhenti dan sambung esok. (Last day of the month perlu standby office sehingga 9.30mlm ) perjalanan sampai rumah pukul 9 mlm. Mandi rehat dan baru makan malam pukul 10. kalau penat sangat esok ajelah makan. Saya tiada masa untuk ambil tahu benda lain selain kerja saya. Jahil sungguh diri ini.

Saya benar-benar terleka sehingga saya dicuit Allah kerana sayangkan saya. Semasa sakit kita akan lebih mengerti erti kehidupan, erti kebahagiaan dan erti penyesalan terhadap masa yang telah kita bazirkan.

Sebenarnya tidak salah kita mengejar kerjaya. Saya percaya rakan-rakan saya yang lain juga ada yang bekerja seperti saya malahan lebih mencabar. Namun biarlah mengejar kerjaya itu seiring dengan kita mengejar akhirat. Jangan sesekali menidakkan hak pencipta kita terhadap kita sebagai hambaNYA ini. Kewajipan terhadap pencipta perlu didahulukan.

Saya masih lagi belajar. Yang silap saya perbetulkan. Semoga saya istiqamah untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas ini. InsyAllah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan